News

Industri nipah : Permintaan tinggi cetus kekurangan bekalan
Posted on : 10 Aug 2022  Source of News: TVS
 


KUCHING, 10 Ogos : Industri nipah Sarawak berhadapan dengan isu kekurangan tenaga kerja yang menjurus kepada kesukaran untuk memenuhi permintaan pasaran semasa.

Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, peladang kecil perlu mewujudkan bekalan yang mampan dan sesuai untuk jangka panjang.

“Setakat ini bilangan peladang nipah di Sarawak masih kecil yang menyebabkan bekalan sentiasa tidak konsisten untuk memenuhi permintaan pasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas hadir pada Majlis Pelepasan Penghantaran Gula Apong ke Saujana Malaysia di sini hari ini.

Dr Stephen Rundi yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Sagu dan Nipah (LKSN) berkata, pihaknya akan terus membantu industri berkenaan untuk mencari kawasan yang sesuai untuk aktiviti penanaman pokok nipah.

Industri nipah katanya memiliki potensi besar untuk menembusi pasaran luar susulan permintaan yang sentiasa tinggi.

“Produk nipah khususnya gula apong akan sentiasa mendapat sambutan yang menggalakkan terutamanya dari Semenanjung Malaysia dan beberapa kawasan lain,” katanya.

Menjadi satu-satunya pengeluar gula nipah di negara ini, beliau menyarankan agar penggiat industri nipah terus bergiat aktif supaya dapat memenuhi permintaan.

Menurutnya lagi selain tenaga kerja, industri tersebut juga sedang berhadapan isu logistik untuk mengeksport nipah ke negara luar termasuk Australia.

“Industri nipah bukan sahaja membabitkan penghasilan produk gula nipah atau gula apong dalam bahasa tempatan Sarawak tetapi juga nira dan garam,”katanya.

Pada 2021, Sarawak telah mengeksport produk gula apong bernilai RM1.93 juta dan menjana pendapatan sebanyak RM3.38 juta untuk jualan di pasaran tempatan.

- TVS

Useful Links