News

Peladang Kecil Diseru Giat Tanam Nipah
Posted on : 11 Aug 2022  Source of News: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)
 


KHAMIS, 11 OGOS 2022

KUCHING: Peladang kecil di Sarawak diseru agar terus menggiatkan lagi penanaman nipah bagi mewujudkan bekalan yang mencukupi dan seterusnya memenuhi kehendak jangka masa panjang.

Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom berkata, ini berikutan industri tersebut berpotensi menembusi pasaran luar kerana sentiasa mempunyai permintaan yang tinggi.

“Produk nipah khususnya gula apong sentiasa mendapat sambutan menggalakkan terutamanya di Semenanjung Malaysia dan juga beberapa negara luar,’’ katanya ketika ditemui media pada lawatan ke Syarikat Kit Hin di sini pada Rabu.

Sebagai satu-satunya pengeluar nipah di negara ini, Dato Sri Dr. Stephen Rundi menyaran pemain di Sarawak agar terus bekerja keras serta bergiat aktif supaya dapat memajukan lagi industri tersebut.

“Kerajaan melalui agensi berkaitan seperti Lembaga Pembangunan Tanah Sarawak (SLDB) serta Jabatan Pertanian Sarawak (DOA) pula akan bekerjasama dengan pemain industri untuk terus memberi bantuan terutamanya dalam mencari kawasan yang sesuai untuk aktiviti penanaman pokok nipah,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, Syarikat Kit Hin merupakan satu-satunya pengeluar gula apong tempatan yang berjaya mengeksport produk-produk mereka ke Semenanjung Malaysia, Singapura, United Arab Emirates (UAE), Korea, Jepun, Australia serta beberapa negara lain.

Pada tahun lepas, Sarawak telah mengeksport produk gula apong bernilai RM1.93 juta di samping menjana pendapatan sebanyak RM3.38 juta untuk jualan di pasaran tempatan.

Hadir sama pada lawatan tersebut ialah Pengurus Besar SLDB, Siang Mandaw. 

- Edisi UKAS

Useful Links