News

Sarawak teruskan vaksinasi ternakan bendung FMD
Posted on : 10 Aug 2022  Source of News: TVS
 


KUCHING, 10 Ogos : Sarawak akan meneruskan program vaksinasi terhadap haiwan ternakan bagi membendung penyakit kaki dan mulut (FMD) meskipun tiada kes baharu yang dilaporkan di negara ini.

Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, suntikan berkenaan akan diberikan kepada ternakan melibatkan lembu, kerbau, kambing dan biri – biri.

“Saya menerima laporan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sarawak bahawa terdapat beberapa kes FMD dilaporkan di sempadan Indonesia-Malaysia.

“Oleh itu kita akan tetap meneruskan program vaksinasi yang dirancang sebagai langkah berjaga – jaga,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Pelepasan Penghantaran Gula Apong ke Saujana Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai aktiviti mengeksport haiwan ternakan ke Singapura, beliau berkata setakat ini republik itu yakin ladang – ladang ternakan di Sarawak bebas wabak berkenaan.

“Menerusi perbincangan dengan rakan sejawat di Singapura, mereka bersetuju untuk kekal menerima haiwan ternakan kita meskipun gusar terhadap FMD,”katanya.

Sarawak sebelum ini diiktiraf sebagai zon bebas FMD tanpa vaksinasi oleh Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia sejak Mei 2004.

Pada Jun lepas, kerajaan negeri mengisytiharkan lima bahagian iaitu Kuching, Serian, Sri Aman, Miri dan Limbang sebagai kawasan kawalan FMD.

Ini berikutan kawasan terbabit bersempadan dengan Kalimantan Barat dan Kalimantan Utara, Indonesia yang mana lokasi wabak itu dikesan aktif dalam kalangan haiwan ternakan. 

-TVS

Useful Links