News

Beras Biris Kenyalang kini boleh didapati di Semenanjung Malaysia
Posted on : 04 Jul 2022  Source of News: TVS
 


KUALA LUMPUR, 4 Julai: Beras Biris Kenyalang, yang merupakan kebanggaan warga daerah Simunjan dan Gedong, kini boleh didapati di pasar raya terkemuka di Semenanjung Malaysia.

Pelancaran pemasaran beras biris untuk pasaran semenanjung telah dilakukan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam satu majlis khas di Lalaport, Kuala Lumpur pada Ahad.

Beras Biris merupakan tanaman padi tradisional yang ditanam sekali setahun dan hanya didapati di daerah Simunjan dan daerah Gedong khususnya kawasan Lubok Punggor, di bawah kawasan Parlimen P200 Batang Sadong.

Datuk Seri Nancy Shukri, Menteri Pelancongan Malaysia yang juga merupakan ahli parlimen Batang Sadong berkata beras biris adalah kebanggaan penduduk Simunjan dan Gedong khususnya buat golongan pesawah di Lubok Punggor.

Beras Biris juga telah didaftarkan sebagai petunjuk geografi (GI) beberapa tahun lalu, bersama Beras Bario dan Beras Bajong kata beliau dalam satu kenyataan semalam.

Beliau turut berharap agar usaha untuk memasarkan beras biris di pasar raya terkemuka di Semenanjung Malaysia akan menggalakkan para pesawah untuk meningkatkan pengeluaran padi istimewa ini, yang seterusnya akan meningkatkan pendapatan para mereka.

“YAB Premier juga telah setuju untuk memperuntukkan RM30 juta untuk membolehkan tanah di sekitar kawasan itu turut diusahakan.”

“Tahun lalu, sebanyak hampir RM4 juta telah dibelanjakan untuk membaikpulih sistem perparitan yang terjejas berikutan hakisan sungai yang memerlukan lebih banyak pembiayaan.”

“Harapan kami agar penduduk Daerah Simunjan dan Gedong lebih giat menanam padi ini pada masa hadapan,” 

- TVS

Useful Links