Sarawak ID|Register
Announcements

News

Eropah mula beralih kepada minyak sawit
Posted on : 06 May 2022  Source of News: Berita Harian
 


PUTRAJAYA: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) akan mengambil peluang yang timbul akibat ketegangan politik di Eropah dan kekurangan minyak masak untuk mempromosikan minyak sawit Malaysia memandangkan komoditi itu mula menjadi pilihan di rantau berkenaan.

Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin, berkata kementerian berhasrat untuk membuka jalan untuk komoditi itu mendapatkan semula bahagian pasarannya, terutama di Kesatuan Eropah (EU).

Beliau berkata, konflik di Ukraine yang bermula pada 24 Februari lalu telah menjejaskan bekalan global minyak sayuran dengan ketara kerana ketidaktentuan eksport melalui Laut Hitam mengakibatkan harga minyak sayuran dan minyak masak yang lebih tinggi.

Katanya, ia boleh menyempitkan lagi bekalan minyak bijian dan sayuran, sekali gus memanjangkan kitaran menaik harga minyak berkenaan.

"Ketegangan di Eropah Timur ini menyebabkan kekurangan minyak bunga matahari dan minyak biji sesawi kerana kedua-dua negara ini menyumbang 80 peratus daripada eksport global.

"MPIC percaya bahawa ketegangan di Laut Hitam akan memberi impak yang positif kepada industri minyak sawit Malaysia kerana banyak negara Eropah yang bergantung kepada minyak bunga matahari, kini sedang beralih kepada minyak sawit," katanya dalam satu kenyataan.

Zuraida berkata, Ukraine dan Russia sedang memasuki masa yang kritikal untuk penanaman bunga matahari yang sepatutnya bermula pada April, tetapi perang berpanjangan boleh memberi kesan kepada musim penanaman.

"Eksport minyak bunga matahari dari Ukraine dan Russia menyumbang 10 peratus daripada semua eksport minyak masak global," katanya.

Beliau menjelaskan, penganalisis pasaran kini menjangkakan peningkatan permintaan minyak sawit dari rantau EU dalam jangka masa terdekat memandangkan kuantiti eksport kacang soya yang lebih rendah dari Brazil, Paraguay, Russia dan Ukraine selain pengurangan minyak bunga matahari dari Russia, Kazakhstan dan Ukraine.

Katanya, ia ditambah pula dengan langkah terbaharu Indonesia, yang juga pengeksport minyak sawit terbesar dunia untuk meluaskan skop larangan eksport bahan mentah bagi minyak masak termasuk minyak sawit mentah dan ditapis, menyebabkan harga global minyak sayuran berkemungkinan kekal tinggi untuk separuh pertama tahun ini.

"Saya percaya masa sekarang adalah peluang yang baik untuk minyak sawit mendapatkan semula keyakinan daripada pembeli Eropah walaupun komoditi ini menerima publisiti yang kurang baik pada masa lalu.

"Dalam hal ini, saya telah mengarahkan agensi berkaitan di bawah MPIC, seperti Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan Lembaga Minyak Sawit

Malaysia (MPOB) supaya melaksanakan kempen yang agresif untuk komoditi ini supaya ia dapat mengisi jurang dalam pasaran global minyak minyak," katanya.

Zuraida berkata, agensi terbabit, dengan kerjasama MPIC, perlu memastikan minyak sawit Malaysia kekal sebagai pilihan utama dalam pasaran global untuk jangka masa panjang, terutama ketika pengguna telah terdedah kepada propaganda negatif pada masa lalu.

"Di bawah kepimpinan saya, MPIC tidak akan mensia-siakan peluang yang terdapat sekarang. Sudah tiba masanya untuk kita meningkatkan usaha menentang propaganda yang memburukkan kredibiliti minyak sawit.

"Kita juga perlu mempamerkan pelbagai manfaat kesihatan minyak emas ini, selaras dengan kempen Minyak Sawit Malaysia Penuh Kebaikan MPOC," katanya.

Useful Links