Sarawak ID|Register
Announcements

News

DVS kuat kuasakan pelesenan pelihara kebajikan haiwan
Posted on : 24 Jan 2022  Source of News: Kosmo
 

Noorlizan bercakap pada sidang akhbar webinar pelaksanaan penguatkuasaan aktiviti melibatkan haiwan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015 di Wisma Tani, Putrajaya hari ini. - FOTO: FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Mana-mana pihak yang ingin menjalankan aktiviti penginapan haiwan, menunggang dan mengepung, pusat perlindungan haiwan serta urusan jual beli melibatkan haiwan hidup dalam kurungan kini perlu mendapatkan lesen seperti yang termaktub dalam Akta Kebajikan Haiwan 2015.

Ketua Pengarah Veterinar, Datuk Dr. Norlizan Mohd. Noor berkata, penguatkuasaan pelesenan bagi aktiviti-aktiviti tersebut telah berkuat kuasa bermula 1 Januari lalu bertujuan bagi memastikan kebajikan haiwan di premis-premis yang terlibat.

“Keputusan ini dibuat selari dengan kehendak Seksyen 15 Akta Kebajikan Haiwan 2015, Peraturan-Peraturan Kebajikan Haiwan (Fi Pelesenan) 2021 dan melalui keputusan dasar yang telah diluluskan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Malaysia (MAFI) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).

“Tujuan utama pelesenan ini dibuat juga adalah bagi mendidik pihak-pihak yang terlibat tentang kewujudan peraturan yang mewajibkan mereka untuk mendapatkan lesen selain memastikan haiwan-haiwan di premis mereka terpelihara kebajikannya,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Webinar Pelesenan Di Bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015 di sini hari ini.

Menurut Dr. Norlizan, secara keseluruhan terdapat 13 kod amalan kebajikan haiwan mengikut aktiviti tersendiri yang perlu dilesenkan melibatkan haiwan kesayangan dan ternakan serta tiga yang berkaitan dengan ikan.

“Antaranya adalah haiwan persembahan, pembiakan dan penyelidikan, ujian dan pengajaran, penyelamatan dan pemulihan, aktiviti mengurung dan perlindungan, kuarantin, latihan, penyembelihan, pelupusan dan kawalan haiwan terbiar oleh individu, organisasi dan badan korporat.

“Bagaimanapun, pihak DSV telah bersetuju untuk menguatkuasakan pelesenan bagi aktiviti-aktiviti ini secara berperingkat dan terlebih dahulu bermula dengan empat aktiviti utama yang telah dinyatakan sebelum ini,” katanya.

Jelas beliau, permohonan lesen bagi aktiviti melibatkan haiwan itu perlu dibuat secara online menerusi laman web https://awa.dsv.gov.my dengan kadar fi sebanyak RM100 setahun bagi setiap aktiviti yang dijalankan dan RM50 untuk pembaharuan lesen setiap tiga tahun.

Pihak DVS juga memberikan tempoh lanjutan sehingga enam bulan kepada individu yang menjalankan aktiviti-aktiviti seperti yang telah dinyatakan untuk memohon mendapatkan lesen bagi premis mereka.

“Sebarang pelanggaran melibatkan akta dan peraturan-peraturan ini dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan penalti antara RM15,000 hingga 75,000 atau penjara sehingga tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

“DVS menyeru semua pihak berkepentingan agar memberikan kerjasama bagi mencapai objektif pelesenan tersebut dan seterusnya memastikan kebajikan haiwan menerusi aktiviti-aktiviti melibatkan haiwan terus terjamin,” ujar beliau. – K! ONLINE

Useful Links