Sarawak ID|Register
Announcements

News

Pengusaha, penternak ayam telur diberi pinjaman mudah
Posted on : 24 Jan 2022  Source of News: Berita Harian
 

KUALA LUMPUR: Kerajaan secara dasar bersetuju memberikan pinjaman mudah kepada pengusaha dan penternak ayam penelur dalam usaha memastikan bekalan telur sentiasa terjamin. 

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, berkata keputusan itu dicapai melalui persetujuan bersama membabitkan pelbagai pihak dalam sesi libat urus diadakan minggu lalu. 

Bagaimanapun, katanya, jenis dan jumlah pengagihan pinjaman lunak itu akan dimuktamadkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) serta Kementerian Kewangan, bergantung kepada saiz pengoperasian pengusaha dan penternak ayam penelur berkenaan.

"Pinjaman lunak ditawarkan bagi membantu pengusaha menampung pertambahan kos operasi di ladang diusahakan mereka susulan faktor penularan pandemik COVID-19. 

"Kerajaan akui (kekurangan bekalan telur ayam) dan mereka (pengusaha) mengadu kepada kita mereka (mengalami) kerugian sehingga tiga sen setiap telur, mengikut gred," katanya ketika ditemui selepas merasmikan sebuah kedai perkakasan rumah di sini, hari ini. 

Isnin lalu, BH melaporkan, kerajaan diminta mempertimbangkan tiga syor bagi menyelesaikan isu kekurangan bekalan telur ayam yang menyaksikan harga hasil ladang itu turut meningkat kebelakangan ini. 

Cadangan dikemukakan Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) adalah penamatan serta-merta Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM), penyediaan lebih ramai pekerja asing ke sektor itu serta pemberian subsidi khas kepada pengusaha ladang ayam penelur.Isnin lalu, BH melaporkan, kerajaan diminta mempertimbangkan tiga syor bagi menyelesaikan isu kekurangan bekalan telur ayam yang menyaksikan harga hasil ladang itu turut meningkat kebelakangan ini.

Dalam pada itu, Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata, kerajaan sedang mencari mekanisme baharu yang mengetengahkan pendekatan menang-menang bagi semua pihak.

"Mekanisme baharu ini bagi mengatasi isu bekalan telur ayam supaya peniaga tidak mengalami kerugian selain pengguna tidak terbeban dengan lonjakan harga.

"Maknanya, mungkin (harga) dinaikkan sedikit untuk (membantu) penternak tetapi pada masa sama pengguna tidak terlalu terasa (dengan kadar kenaikan berkenaan)," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Rosol berkata, pihaknya akan terus menjalinkan kerjasama erat dengan pihak berkaitan, terutamanya MAFI bagi membantu memastikan harga barangan lain di pasaran dapat distabilkan.

Beliau berkata, isu kenaikan harga barang sentiasa dalam radar pemantauan KPDNHEP yang kini sedang memperhalusi kaedah berkesan bagi membendungnya, terutama apabila sambutan Tahun Baharu Cina dan Aidilfitri semakin hampir.

"Ini adalah antara yang telah kita fikirkan bagaimana untuk membendung kenaikan harga. Kenaikan saya nampak memang ada tetapi tidaklah terlalu mendadak sehingga membebankan (pengguna).

"Bagi kenaikan harga ikan, ia bergantung kepada tawaran dan permintaan di pasaran, didorong keadaan ekonomi terbuka. Justeru, kita dapat kerjasama daripada MAFI dan agensinya yang akan menjual ikan beku pada harga murah," katanya.

Useful Links