News

Tak kisah berpanas, buat kerja kotor
Posted on : 11 Jan 2022  Source of News: Berita Harian
 

TUARAN: Berpegang prinsip atau peribahasa 'jika tidak dipecah ruyung, di mana boleh mendapat sagunya', lantas bagi sebilangan lepasan institut pengajian tinggi (IPT) tidak kisah berpanas dan melakukan kerja kotor dengan mengusahakan pelbagai tanaman selepas sukar mendapat pekerjaan.

Menariknya, hasil jualan dapat menambah pendapatan, selain mengurangkan beban perbelanjaan dapur untuk menjamin kelangsungan hidup buat diri sendiri dan ahli keluarga lain.

Justeru, bagi pemegang ijazah Sarjana Muda Sains Bioindustri dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Bintulu, Gilbert Minsin, 30, kini lebih selesa kerana berpeluang mengusahakan sebahagian tanah pusaka, iaitu seluas 0.81 hektar daripada 3.24 hektar milik keluarganya.

"Sebaik menamatkan pengajian di universiti pada pertengahan 2017, saya cuba memohon pelbagai pekerjaan termasuk kerjaya yang berkaitan bidang kelulusan.

"Namun, mungkin rezeki belum menyebelahi menyebabkan saya mengambil keputusan pulang ke kampung menjadi pekebun daripada menunggu tawaran atau peluang kerja yang tidak pasti," jelasnya.

Katanya, sebaik tiba di kampung halamannya di Kampung Wassai, Kiulu di daerah Tuaran, Sabah, dia segera membersihkan tanah pusaka 0.81 hektar yang awalnya dikelilingi hutan selepas mendapat izin daripada orang tuanya.

"Selain perlu melalui tanah penduduk lain, lokasi kebun agak curam dan menyukarkan laluan jentera untuk kerja meratakan tanah.

"Saya mula menanam pelbagai sayuran dan buah-buahan melalui kaedah moden yang saya pelajari di universiti," ujarnya.

Gilbert berkata, antara tanaman yang diusahakannya adalah ubi manis, halia, kacang panjang, bunga kantan, lada putih, serai dan pelbagai lagi.

Beliau turut menanam mangga, durian, durian Belanda, tarap, buah naga dan avocado.

"Selain menjual hasil tanaman kepada penduduk sekitar, saya juga menjualnya secara borong kepada peniaga di daerah Tuaran, Ranau, Kota Kinabalu dan Papar," katanya.

Gilbert berkata, dia turut mengusahakan madu kelulut untuk dijadikan produk minuman dan bakal menambah tanaman lain dari semasa ke semasa mengikut permintaan.


Halia antara tanaman diusahakan Gilbert, selain dijual ia dapat menampung beban perbelanjaan sekeluarga. - Foto/Recqueal Raimi

"Lebih-lebih lagi, kami sangat bersyukur apabila bekalan makanan tidak terputus ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan apabila  berdepan pandemik COVID-19," katanya.

Gilbert yang adalah anak sulung daripada tujuh beradik ini berkata, keluarganya turut mengusahakan tanaman padi huma atau lebih dikenali padi bukit di kampungnya.

Useful Links