News

Cili merah akan jadi barang kawalan
Posted on : 24 Nov 2021  Source of News: Berita Harian
 

PUTRAJAYA: Pewartaan cili merah sebagai barang kawalan bagi pengurusan data yang lebih komprehensif dan efektif serta penubuhan konsortium perikanan laut dalam, antara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara hari ini.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee secara hibrid itu turut membincangkan mengenai pengukuhan kawalan biosekuriti agromakanan melalui penubuhan 'one stop quarantine center' (OSQC) atau pusat kuarantin setempat.

Menurut Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam kenyataan hari ini, mesyuarat turut dimaklumkan prestasi negara yang menunjukkan peningkatan sembilan anak tangga apabila menduduki tangga ke-39 dalam Indeks Keselamatan Makanan Global (GFSI).

"Mesyuarat juga mengambil maklum mengenai perkongsian kemudahan makmal dalam menyediakan perkhidmatan analisis makanan negara," kata MAFI.

Mesyuarat juga bersetuju mengguna pakai scorecard yang dibangunkan khusus untuk memantau pelaksanaan lima teras strategik Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2030 (Pelan DSMN) berasaskan pendekatan kluster.

Kerajaan bersetuju melaksanakan DSMN 2021-2030 pada 9 Jun lalu sebagai usaha menjamin kesiapsiagaan Malaysia dalam menghadapi krisis sekuriti makanan.

MAFI memaklumkan idea serta saranan yang diketengahkan oleh ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif dalam mesyuarat itu akan diperhalusi dan ditambah baik sebelum dibawa untuk pertimbangan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara (FSCC) yang dijangka bersidang dalam masa terdekat.

Jawatankuasa Eksekutif yang dipengerusikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan itu dianggotai ketua setiausaha kementerian, ketua jabatan dan agensi, ahli akademik, pemain industri serta badan bukan kerajaan (NGO).

Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara itu turut disertai secara dalam talian oleh exco pertanian, Menteri Pemodenan Pertanian Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas serta Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah Datuk Dr Jeffrey Kitingan.

Menurut MAFI, penglibatan kerajaan negeri merupakan pemangkin kepada sinergi antara kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan dalam memacu agenda sekuriti makanan negara secara menyeluruh ke arah meningkatkan kemakmuran Keluarga Malaysia. – BERNAMA

Useful Links