News

Benih padi IS21 mampu jana pendapatan berganda
Posted on : 24 Nov 2021  Source of News: Harian Metro
 

Kuala Lumpur: Teknologi benih padi baharu IS21 yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, baru-baru ini mampu memenuhi permintaan makanan serta pemakanan masyarakat tempatan.

Anggota Majlis Perwakilan Pelajar Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM), Nur Fatin Amirah Ahmad Amri berkata, masalah kekurangan bekalan makanan masyarakat di Malaysia dapat diatasi susulan peningkatan produktiviti padi dan beras.

Katanya, varieti MR219 adalah benih induk kepada IS21 mudah terdedah kepada serangan penyakit dan boleh mendatangkan penurunan hasil tuai padi sehingga 50 peratus.

"Justeru, dengan pengeluaran benih IS21 yang didaftarkan sebagai varieti NMR152 di Bahagian Perlindungan Varieti Tumbuhan, Jabatan Pertanian Malaysia ini, ia mempunyai ketahanan terhadap perubahan cuaca mendadak, pengeluaran hasil yang cepat dan mempunyai kualiti yang lebih baik dari segi zat dan nutrisi.

"Penggunaan racun perosak juga dikurangkan hingga 20 peratus kerana biak baka mutasi aruhan sinar gama mempunyai ketahanan terhadap tekanan biotik dan abiotik," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pelancaran Benih Padi IS21 itu disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Sekinchan, Selangor November pada 20 November lalu.

Padi IS21 dinamakan sempena nama Perdana Menteri iaitu IS adalah singkatan bagi nama Ismail Sabri dan angka 21 mewakili tahun 2021.

Varieti Padi IS21 didaftarkan di bawah Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 2004 Jabatan Pertanian melalui Certificate of Registration of New Plant Variety and Grant of Breeder's Right (Nombor Pendaftaran: PBR 0156 (NMR152).

Mengulas lanjut, dia berkata, kerajaan perlu memberikan fokus yang lebih dalam pengeluaran teknologi baharu, bagi menangani masalah kekurangan bekalan makanan masyarakat.

Pengarah Hj Md Nor Hj Abd Rahman (M) Sdn Bhd (HMN) Datuk Mansor Abd Rahman, turut menyokong usaha baik Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam memperkenalkan varieti padi IS21.

Menurutnya, pengenalan varieti padi ini dapat membantu mengatasi cabaran perubahan persekitaran yang dihadapi oleh pesawah.

"Teknologi biak baka mutasi ini amat diperlukan bagi mempercepatkan pengeluaran varieti baharu yang mempunyai ketahanan kepada perubahan persekitaran," katanya.

Sementara itu, pesawah muda, Khairul Amirin Khairuddin, mengakui, pengenalan dan pembaharuan kepada varieti padi dapat membantu meningkatkan pendapatan pesawah menerusi peningkatan hasil padi.

Khairul Amirin berkata, inovasi baharu ini mampu meningkatkan tahap imuniti dan kerintangan pokok terhadap penyakit dan perosak tanaman.

"Bahkan, ia turut membuktikan agensi seperti MOSTI dan nuklear mampu melangkah ke era baharu dapat penciptaan varieti baharu berdasarkan pengenalan kepada bahan nuklear untuk mendapatkan ciri yang sesuai dengan situasi dan keadaan padi negara.

"Ia sekali gus mampu memberi saingan dengan bekalan padi import yang ada dek peningkatan kualiti yang memberangsangkan berbanding padi tempatan dan import lain di pasaran tempatan," katanya.

Useful Links