News

Saji setanding beras import
Posted on : 14 Oct 2021  Source of News: Harian Metro
 

Penggunaan teknologi dron T20 di sawah mampu mempercepatkan proses membaja dan kawalan makhluk perosak serta penyakit oleh petani.

SYARIKAT perniagaan tani dan makanan negara, FGV Holdings Bhd (FGV), menyasar menguasai 3.5 peratus pasaran beras wangi tempatan pada akhir 2025 di bawah jenama unggulnya, Saji.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Mohd Nazrul Izam Mansor berkata, ia dicapai menerusi pelaksanaan program Beras Wangi Fortified Field™ (3FR) oleh FGV Integrated Farming Holdings Sdn Bhd (FGVIF) yang berupaya mengoptimumkan penanaman padi wangi tempatan melalui amalan dan teknologi pertanian pintar serta berkesan.

"Kami merancang memperluas kawasan penanaman padi wangi kepada 10,000 hektar dalam tempoh lima tahun akan datang.

"FGV komited meningkatkan tahap sara diri (SSL) industri beras di Malaysia dan ia dapat dilakukan menerusi program 3FR FGV yang menyokong program Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) yang dimulakan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

"Smart SBB dijangka membantu negara mencapai 75 peratus tahap SSL beras seperti digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12)," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, matlamat FGV adalah supaya beras wangi Saji FGV menjadi pilihan rakyat Malaysia dan dunia pada masa akan datang.

"Menerusi kemampuan dalaman, sumber daya dan pelbagai aplikasi teknologi FGV, beras wangi tempatan yang dihasilkan berkualiti tinggi dan setanding beras import Thailand," katanya.

Menurutnya, program 3FR menggabungkan kepakarannya dalam peningkatan prestasi sawah menerusi Pertanian 4.0 dan ketepatan perladangan yang menjimatkan dan lestari.

Ini termasuk menerapkan penggunaan teknologi dalam perladangan seperti mekanisasi, dron, Internet Kebendaan (IoT), sensor sawah, kawalan makhluk perosak dan penyakit, serta mesin penanaman padi automatik.

Katanya, FGV bersedia merancakkan pasaran beras wangi tempatan menerusi anak syarikatnya, FGVIF."Ketika ini program 3FR FGV dilaksanakan di sawah jelapang berkeluasan 500 hektar di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut di Selangor, dan 100 hektar di IADA Seberang Perak, Perak bersama 260 petani kontrak tempatan yang dilantik," katanya

Useful Links