News

RM60 juta diperuntukkan bantu pekebun lada, kelapa sawit di Sarawak
Posted on : 11 Oct 2021  Source of News: Utusan Borneo
 

Uggah ketika mengadakan pertemuan bersama tuai rumah panjang serta petani lada dan kelapa sawit dari kawasan Bukit Saban.

BETONG: Kerajaan negeri prihatin akan masalah yang dihadapi pekebun lada dan kelapa sawit berikutan sekatan dan kekangan akibat penularan COVID-19.

Sehubungan itu, sejumlah RM60 juta diperuntukan untuk membantu mereka.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah berkata, dana itu akan digunakan untuk membekalkan baja kepada mereka.

"Kerajaan GPS negeri ambil perhatian masalah anda dan pada masa yang sama, dasar kerajaan adalah untuk membantu pekebun memperoleh pendapatan yang baik daripada kegiatan mereka.

"Justeru, bagi membantu mengurangkan beban (anda), kerajaan menyediakan dana ini bagi membantu dan mengembalikan kestabilan pendapatan kepada pekebun," katanya ketika mengadakan pertemuan dengan kira-kira 40 tuai rumah panjang dan pekebun dari kawasan Bukit Saban di sini, hari ini.

Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah berkata, keadaan COVID-19 telah memaksa banyak kegiatan pertanian kerajaan ditangguhkan.

"Saya minta maaf untuk ini tetapi perkara ini tidak dapat dielakkan demi keselamatan semua orang.

"Sekarang kita secara beransur-ansur akan kembali seperti sediakala dan kita mahu pekebun kita untuk mula menjana pendapatan melalui aktiviti mereka,” jelasnya.

Beliau menambah, bahagian Betong masih memiliki banyak potensi yang belum dimanfaatkan berdasarkan ukuran tanahnya, kualiti tanah yang baik dan budaya kerja keras para pekebun.

Uggah berkata, persetujuan telah dicapai untuk membina Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) di sini.

"Konsepnya seperti CPPC Tarat di daerah Serian yang memberi tumpuan terhadap tanaman durian. 

“Selain itu, kerajaan turut merancang untuk membina sebuah agropark di sini 

"Kita juga akan membangunkan STOLPORT (lapangan terbang landasan pendek) di Spaoh bagi membantu pemasaran luar negara dan terminal makanan akan menjadi sebahagian daripada lapangan terbang ini," katanya.

Uggah juga berkata usaha akan diperhebatkan untuk memperkenalkan kaedah pertanian moden seperti fertigasi dan hidroponik kepada masyarakat, selain memelihara ternakan.

Tambah beliau, organisasi pekebun di daerah ini akan ditugaskan untuk membeli hasil daripada para pekebun.

“Harapan saya komuniti pertanian di sini akan kembali bangkit dalam bidang ini,” katanya

Turut hadir mengiringi Uggah pada lawatan itu ialah Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Dr Richard Rapu dan Pegawai Pertanian Bahagian Betong, Petrus Kang.

Useful Links