News

Pengurusan Smart SBB teratur
Posted on : 08 Oct 2021  Source of News: Harian Metro
 

Padi wangi yang ditanam peserta Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) di Tali Air 3, Sungai Burong. Gambar NSTP/AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN

Sekinchan: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) terus komited meningkatkan hasil pendapatan pesawah di seluruh negara dengan menggunakan pengurusan yang lebih sistematik dan teratur menerusi program Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB).

Mafi komited tingkatkan pendapatan pesawah menerusi program lebih sistematik

Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi), Azman Mahmood berkata, inisiatif menggabungkan pesawah sebagai rakan kongsi dan syarikat peneraju sebagai pelabur itu menyasarkan peningkatan purata semasa padi iaitu daripada 3.5 tan metrik kepada 7 tan metrik.

Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi),Azman Mahmood

Katanya, ketika ini Malaysia bergantung kepada 30 peratus import beras dari negara luar seperti Vietnam, Thailand, India dan Kemboja.

"Industri ini (padi dan beras) amat ditekankan kerana kerajaan melabur kira-kira RM1.53 bilion dalam pelaburan menghasilkan padi dan beras negara.

"Kalau ikut sasaran, kita dapati pesawah dalam golongan B40 dan didapati ia membabitkan pengurusan sawah itu sendiri.

"Oleh sebab itu, kita bawa 18 syarikat peneraju dengan pelaburan kira-kira RM1 bilion untuk melabur di sawah padi di seluruh negara," katanya ketika ditemui di Tali Air 3, Sungai Burong di sini, baru-baru ini.

Penggunaan dron di kawasan sawah padi memberi manfaat dalam usaha meningkatkan hasil beras wangi. Gambar NSTP/AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN

Azman berkata, beliau memberi contoh projek perintis penanaman padi wangi di bawah FGV Integrated Farming Holdings Sdn Bhd mendapat sambutan cukup menggalakkan daripada pesawah.

"Mereka (FGV Integrated Farming Holdings Sdn Bhd) menyasarkan musim pertama dan musim kedua seluas kira-kira 500 hektar di Selangor dan 100 hektar di Perak," katanya.

Katanya, Padiberas Nasional Berhad (Bernas) juga terbabit dalam Smart SBB dan ia perkembangan yang baik dalam usaha memberi manfaat kepada golongan sasar.

"Pendapatan pesawah meningkat kerana menceburi penanaman padi wangi. Sekiranya mereka tanam padi biasa, pendapatan hanya RM 1,200 per tan metrik.

"Kalau (tanam) padi wangi, mereka mendapat RM1,540 per tan metrik, ditambah dengan RM360 subsidi khas harga padi. Maknanya mereka dapat pendapatan RM1,900.

Gambar NSTP/AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN

Azman berkata, projek Smart SBB juga turut memberi pendapatan tambahan kepada pesawah dengan pengeluaran hasil seperti jerami, sekam dan beras hancur serta agro pelancongan pada masa akan datang.

"Kita mahu mereka terbabit dalam sektor agro pelancongan di kawasan sawah padi.

"Mungkin selepas ini, akan ada hotel lima bintang dan tiga bintang serta pusat rekreasi yang dapat dimanfaatkan kepada masyarakat dan akhirnya ekonomi setempat dapat ditingkatkan," katanya.

Sementara itu, peserta Smart SBB, Roslan Aini, 48, bersyukur hasil padinya meningkat selepas menyertai program itu.


Peserta Smart SBB, Roslan Aini

"Alhamdulillah, hasil padi meningkat apabila kami mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang disediakan syarikat peneraju khususnya dari segi panduan tanaman, pemantauan dan pemeriksaan sawah secara berjadual.

"Nasihat saya kepada mereka yang belum menyertai Smart SBB, banyak faedah dan kelebihan yang akan diperolehi.

"Tanaman padi merupakan tanaman masyarakat yang perlu diusahakan secara bersepadu. Jadi, inisiatif ini merupakan platform yang terbaik," katanya.

Useful Links