News

LKIM perkenal jualan ikan secara dalam talian
Posted on : 08 Oct 2021  Source of News: Berita Harian
 

Syed Abu Hussin (tengah) menyampaikan bantuan pada program Penyerahan Bantuan Input Tanaman Kontan di Kampung Permatang Raja, di sini, hari ini. - Foto NSTP/Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

BUKIT GANTANG: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) melalui Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) akan memperkenalkan inisiatif jualan ikan secara dalam talian di seluruh negara bermula tahun depan.

Pengerusinya, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, berkata inisiatif yang dimulakan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) sejak dua tahun lalu itu memberi impak positif dan meningkatkan hasil pendapatan nelayan.

Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), beliau berkata, permintaan terhadap ikan segar dan sejuk beku, khususnya di kawasan bandar semakin meningkat.

"Di seluruh negara, kita ada 87 PNK yang mempunyai kemampuan atau bekalan ikan segar dan sejuk beku. Kita akan laksanakan inisiatif jualan ikan terus dalam talian bagi meningkatkan hasil pendapatan, selain mengelak fungsi orang tengah.

"LKIM dijangka memulakan tempoh percubaan jualan secara dalam talian hujung tahun ini dan akan memulakannya secara menyeluruh di seluruh negara awal tahun depan.

"Pada masa sama kita akan menggalakkan nelayan atau isi rumah untuk berbuat demikian bagi meningkatkan hasil pendapatan mereka kerana melalui platform itu, mereka boleh menjual ikan segar atau apa saja produk nelayan terus kepada pengguna," katanya.

Beliau berkata demikian selepas program Penyerahan Bantuan Input Tanaman Kontan di Kampung Permatang Raja, di sini, hari ini.

Syed Abu Hussin berkata, platform berkenaan kaedah perniagaan baharu yang perlu diceburi komuniti nelayan dan keluarga bagi membantu meningkatkan pendapatan, khususnya dalam tempoh fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Sementara itu, dalam perkembangan lain beliau berkata, LKIM menyasar pendapatan nelayan dan isi rumah mampu memperoleh RM10,000 sebulan menjelang 2025 melalui Rancangan Malaysia Ke 12 (RMK-12).

"Bagi memastikan matlamat itu dicapai, LKIM memperuntukkan RM4.6 juta dalam usaha membantu 2,500 keluarga nelayan di seluruh negara bagi memajukan tanaman kontan sebagai usaha menambahkan pendapatan sampingan mereka," katanya.

Useful Links