News

Kerajaan rangka strategi perkasa industri lada negara
Posted on : 08 Sep 2021  Source of News: BERNAMA
 


KUCHING: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi menerusi Lembaga Lada Malaysia (MPB) kini merangka pelbagai strategi, termasuk mengenal pasti produk hiliran yang berpotensi dalam usaha mengangkat sektor agrikomoditi lada negara.

Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata ini penting bagi membolehkan Malaysia yang kini dalam kelompok teratas pengeluaran lada dunia selepas Vietnam, Indonesia dan India, terus meningkatkan kualiti komoditi dan produk bagi mengekalkan daya saingnya.

"Di peringkat hiliran, kita akan melihat apakah produk yang boleh menghasilkan pendapatan tinggi.

"Selain mampu mengeluarkan hasil lada, penjenamaan produk dalam industri juga penting supaya Malaysia turut mencatat nama dalam kedudukan penghasilan produk premium," katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan rasmi ke ibu pejabat MPB di sini, hari ini.

Menurut Zuraida, nilai pasaran lada putih Malaysia juga meningkat kepada lebih RM60 juta dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini berbanding RM40 juta pada tahun lalu.

"Peningkatan ini susulan daripada pengeluaran lada yang berkurangan tetapi ia sebaliknya memberi kelebihan dalam menjana pendapatan negara," katanya.

Menyentuh MPB, beliau berkata agensi itu berperanan mengawal selia pasaran pasaran lada di Malaysia dan memastikan perniagaan yang dijalankan mengikut undang-undang, kualiti produk eksport menepati gred ditetapkan serta lebih berdaya saing di pasaran antarabangsa.

Malah, katanya, penubuhan anak syarikat MPB, Saraspice Sdn Bhd yang bakal beroperasi pada Oktober depan juga dapat membantu memperkukuh kedudukan sektor industri lada di pelbagai peringkat selain menjadi pembekal unggul lada Sarawak yang berkualiti untuk pasaran domestik dan antarabangsa.

"Selain itu, pelbagai progam dan skim turut dilaksanakan untuk manfaat para pekebun kecil lada bagi mengangkat industri komoditi negara ke tahap lebih cemerlang," katanya. 

- BERNAMA

Useful Links