News

Premier Sarawak Lancar ‘Kenyalang Biris Rice’ Di Kuala Lumpur
Posted on : 04 Jul 2022  Source of News: Unit Komunikasi & Penerangan Sarawak (UKAS)
 


AHAD, 3 JULAI 2022

KUALA LUMPUR: Sarawak sekali lagi mencipta sejarah apabila beras dari Kampung Lubuk Punggor di Gedong, Simunjan dieksport ke Semenanjung Malaysia dan dipasarkan di bawah jenama ‘Kenyalang Biris Rice’ di Pasaraya Lalaport Mall di Kuala Lumpur.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, inisiatif sedemikian antara strategi untuk memulakan langkah menjadikan Sarawak sebagai pengeksport bersih hasil dan produk pertanian berkualiti tinggi menjelang 2030 bagi memenuhi permintaan domestik dan antarabangsa.


Menurutnya, Sarawak kini memfokuskan kepada visi untuk membangunkan sektor pertanian menggunakan teknologi bagi menjaga dan mengusahakan tanah yang merupakan aset beharga bumi kenyalang.

“Semua aktiviti pertanian dengan sumber dan tanah yang kita ada boleh dibangunkan.

“Saya yakin menjelang tahun 2030 kita mampu menjadi pengeksport selain menjadi pengimport. Kita adalah penjual dan bukan lagi pembeli,” katanya semasa berucap menyempurnakan pelancaran ‘Kenyalang Biris Rice’ dan Carus ‘Creamy White Pepper’ sekaligus merasmikan Sarawak Agrofest 2022 di sini pada Ahad.


Dalam majlis sama, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari telah menyaksikan Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Lembaga Kemajuan Tanah Sarawak (SLDB) dan Carus Technology Sdn Bhd untuk membangunkan platform ‘Pertanian Digital 2U Sarawak’ yang dijangka siap sepenuhnya menjelang Januari 2023.

Sementara itu semasa sidang media, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari berkata, dalam usaha meningkatkan pendapatan petani tempatan, pendekatan kerajaan Sarawak pada masa kini adalah untuk mengaplikasikan cara baru melalui beberapa strategi, antaranya untuk membangunkan Agropark.

“Kalau dulu kita menggambarkan petani muka susah, bawa cangkul. Ini cara lama dan tidak menarik minat orang. Pertanian ini sebenarnya perniagaan yang perlu kita banggakan.

“Pendekatan kita sekarang untuk bangunkan Agropark kerana kita tidak ada masalah dengan tanah.

“Seterusnya, kita sediakan semua infra digital. Kita tidak mahu menggunakan terlalu banyak bahan kimia (chemical). Kita menguruskan ekonomi dari sudut sektor pertanian melalui teknologi supaya kita tidak perlu bergantung dengan makanan dari luar yang menyebabkan kenaikan harga,” jelasnya.

Turut hadir dalam majlis itu ialah, Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Malaysia, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia, Dato Sri Nancy Syukri, Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah I Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail dan Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah II, Martin Ben. 

- EDISI UKAS

Useful Links