Sarawak ID|Register
Announcements

News

Pusat Pengumpulan Pisang Kapok Diwujudkan Di Kampung Barieng, Singai
Posted on : 24 Jan 2022  Source of News: UKAS
 

BAU: Pusat Pengumpulan pisang kapok bakal diwujudkan di Kampung Barieng bagi mengumpul hasil tanaman tersebut dari seluruh kawasan Singai.

Menteri Muda Pengangkutan II Sarawak, Dato Henry Harry Jinep memberitahu, balai raya Kampung Barieng akan digunakan untuk tujuan itu apabila kerja-kerja bina baru dewan kampung berkenaan telah siap sepenuhnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru itu menambah, pusat pengumpulan itu diwujudkan disamping menaik taraf bangunan balai raya sebagai bilik gerakan bagi kegunaan jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) dan golongan belia di situ.

Beliau berkata demikian semasa program santai bersama belia dari Kampung Barieng di balai raya kampung berkenaan pada Ahad.

Menurutnya lagi, dewan Kampung Barieng yang dibina baru itu akan turut dilengkapkan dengan gelanggang sepak takraw dan juga gelanggang badminton.

Tambahnya, beliau turut mempunyai perancangan untuk mewujudkan sebuah pusat sukan yang akan mempunyai sebuah dewan serbaguna yang luas dan memuatkan gelanggang badminton, gelanggang futsal untuk belia dari Kampung Segong dan Kampung Barieng selain sebuah padang bola sepak untuk penduduk dari kawasan Singai.

Ujarnya lagi, Sekolah Kebangsaan (SK) Segong yang sering mudah dilanda banjir juga dirancang untuk dipindahkan ke tapak baru.

Beliau kemudiannya mengumumkan peruntukan sebanyak RM3,000 akan disalurkan kepada belia Kampung Barieng untuk membantu mereka mengadakan aktiviti tahunan. -EDISI UKAS

Useful Links